Simpulan Bahasa



SIMPULAN BAHASA, MAKSUD DAN CONTOH AYAT.


1. ada hati
   Maksud : ada keinginan yang melebihi kesanggupan.
   Ayat
     : Jamal ada hati hendak meminang anak hartawan itu.

2. akal kancil
   Maksud : tipu daya yang licin
   Ayat      : Peniaga itu mempunyai akal kancil untuk mendapat keuntungan yang banyak.

3. alas perut
   Maksud : makan sedikit untuk sementara waktu
   Ayat      : Amran makan sekeping roti sebagai alas perut.

4. alim-alim kucing
   Maksud : seorang yang berpura-pura baik dari segi tingkah laku dan peraturan.
   Ayat      : Jamal bersikap alim-alim kucing di depan ibu bapanya.

5. anak angkat
   Maksud : anak orang lain yang dipelihara seperti anak sendiri
   Ayat      : Amin adalah anak angkat Pak Cik Rahman.
  
6. anak bongsu
   Maksud : anak yang paling muda dalam keluarga
   Ayat      : Lai Meng anak bongsu Encik Wong.

7. anak emas
   Maksud : orang yang dikasihi oleh ibu bapanya atau majikannya.
   Ayat      : Sofea pekerja yang rajin. Tidak hairanlah saya jika ia menjadi anak emas Tuan Adnan.

8. anak kandung
   Maksud : anak sendiri
   Ayat      : Harlina anak kandung Encik Osman dan Puan Faridah.

9. angkat bakul
   Maksud : orang yang suka memuji atau meninggikan diri.
   Ayat      : Puan Aisyah sering angkat bakul apabila bercerita tentang dirinya.

10. atas angin
     Maksud : Negara-negara barat
     Ayat      : Negara kita pernah dijajah oleh negara-negara atas angin.

11. banyak mulut
     Maksud : orang yang suka bercakap
     Ayat      : Sikap Mona yang banyak mulut itu tidak disenangi oleh rakan sekelasnya.

 12. batu api
     Maksud : penghasut
     Ayat      : Mereka sudah berbaik-baik. Janganlah kamu menjadi batu api pula.

13. batu loncatan
     Maksud : sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan
     Ayat      : Diterimanya tawaran kerja sementara itu sebagai batu loncatan untuk memperoleh pekerjaan yang lebih baik kelak.

14. bekas tangan
     Maksud : hasil kerja tangan seseorang
     Ayat      : Pasu bunga ini adalah bekas tangan Clementina.

15. bergadai nyawa
     Maksud : sanggup membahayakan diri sendiri demi mencapai sesuatu
     Ayat      : Ahli bomba itu sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa
kebakaran.

16. buah mulut
     Maksud : perkara yang menjadi sebut-sebutan
     Ayat      : Berita tentang Murad membawa gadis Inggeris pulang telah membawa buah
mulut seluruh kampung.

17. buah tangan
     Maksud : pemberian
     Ayat      : Setiap kali ke luar negeri, ayah pasti membawa buah tangan untuk kami.

 18. bulat kata
     Maksud : sepakat, sehati
     Ayat      : Penduduk kampung ini sudah bulat kata untuk bergotong royong membersihkan kawasan kampung pada minggu depan.

19. durian runtuh
     Maksud : mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau tanpa bersusah payah.
     Ayat      : Wanita itu mendapat durian runtuh apabila membeli-belah di pasar raya itu.

20. gaji buta
     Maksud : gaji yang diterima dengan tidak bekerja sungguh-sungguh
     Ayat      : Buruh itu lebih banyak berehat daripada bekerja. Dia makan gaji buta.

21. ikat perut
     Maksud : mengurangkan makan kerana susah
     Ayat      : Manisah terpaksa ikat perut di sekolah kerana ayahnya tidak mampu
memberikan wang saku kepadanya.


22. iri hati
    Maksud : perasaan cemburu
     Ayat      : Perempuan itu iri hati melihat jirannya membeli perabot baru.

23. jalan buntu
     Maksud : tidak mendapat kata sepakat
     Ayat      : Mesyuarat itu terpaksa diberhentikan kerana menemui jalan buntu.
  
24. keras kepala
     Maksud : tidak mahu mengalah
     Ayat      : Lebih baik kamu beralah daripada terus bertengkar dengannya. Dia itu keras kepala.

25. khabar angin
     Maksud : khabar yang belum sah kebenarannya.
     Ayat      : Sejak dia menghilangkan diri dari kampung, berbagai-bagai khabar angin tersebar tentang dirinya.

26. langkah kanan
     Maksud : mujur atau bernasib baik
     Ayat      : Hari ini langkah saya langkah kanan kerana dapat bertemu dengan pengarang terkenal di pesta buku itu.

27. langkah seribu
     Maksud : melarikan diri secepat-cepatnya kerana takut
     Ayat      : Budak yang menghendap di dusun itu membuka langkah seribu apabila disergah oleh ayah saya.

28. mandi peluh
     Maksud : basah dengan peluh
     Ayat      : Setiap hari Pak Cik Salim bermandi peluh mengusahakan kebun sayurnya.

29. mata duitan
     Maksud : orang yang mementingkan wang saja
     Ayat      : Jangan jadi mata duitan kerana kekayaan saja tidak dapat menjamin kebahagiaan.

30. pilih kasih
     Maksud : melebihkan pertimbangan kepada orang yang dikasihi
     Ayat      : Majikan itu pilih kasih dalam memberikan pangkat kepada pekerja-pekerjanya.

31. rambang mata
     Maksud : sukar untuk membuat pilihan
     Ayat      : Ibu rambang mata apabila masuk ke kedai pakaian itu.

32. ringan tangan
     Maksud : suka menolong orang
     Ayat      : Kalau kita ringan tangan, semua orang akan menyayangi kita.

33. ringan tulang
     Maksud : rajin bekerja
     Ayat      : Kawasan rumah Encik Simon selalu bersih kerana tukang kebunnya ringan tulang.

34. sampai hajat
     Maksud : berjaya mencapai apa yang dihajati
     Ayat      : Akhirnya sampai hajat nenek hendak ke Makkah.

35. saudara baru
     Maksud : orang yang baru memeluk agama Islam
     Ayat      : Vincent telah menjadi saudara baru sejak bulan lepas lagi.

No comments:

Post a Comment